Tetapkan Sokongan Kepada Saudara Kita Di Palestin dan Istiqamah Memboikot Produk Israel dan Sekutunya.



KEMPEN MEMBOIKOT PRODUK ISRAEL DAN SEKUTU.
Maklumat lanjut sila hubungi PPIM Hotline:019-3591000
Antara produk adalah: Maggi, Kitkat, Nestle, Mc. Donald, Klenex, dan lain-lain disenaraikan di capaian:
http://www.muslimconsumer.org.my/ppim/yahudiboikot.html
http://anakcucunabiadam.blogspot.com/2009/01/boikot-produk-israel-ini.html

Khamis, 5 November 2009

JENAZAH : HUKUM DAN PENGURUSAN
Jul 1, '07 7:50 PM
for everyone
(Dipetik dari bersumberkan PMRAM)

JENAZAH : HUKUM DAN PENGURUSAN

KANDUNGAN     :

1.0     -  Pendahuluan
2.0     -  Hukum menziarahi orang sakit
3.0     -  Perkara-perkara yang perlu dilakukan kepada pesakit yang hampir mati
4.0     -  Apakah yang perlu dilakukan apabila menerima berita kematian
5.0     -  Perkara-perkara yang perlu dilakukan kepada si mati yang baru meninggal
6.0     -   Memandikan jenazah
6.1    -  Syarat jenazah yang diwajibkan mandi
6.2    - Orang yang dibolehkan memandikan jenazah
6.3    - Hukum melihat kepada aurat jenazah
6.4    - Syarat memandikan jenazah
6.5    - Perkara-perkara sunat ketika memandikan jenazah
6.6    - Cara-cara memandikan jenazah
7.0     -   Mengkafankan jenazah
7.1    -  Hukum mengkafankan jenazah
7.2    -  Cara-cara mengkafankan jenazah                                                                                                    
8.0      -  Sembahyang jenazah
8.1    -  Syarat bagi jenazah yang hendak disembahyangkan
8.2    -  Rukun sembahyang jenazah
8.3     - Cara menyembahyangkan jenazah
8.4     - Perkara-perkara sunat bagi sembahyang jenazah
8.5     - Imam solat jenazah                                                                                                          
9.0      -  Mengebumikan jenazah
9.1 -  Kelebihan mengebumikan jenazah
9.2 -  Cara-cara mengebumikan jenazah                                                                                                   
10.0 -  Kewajipan terhadap anak-anak yang gugur
11.0 -  Ziarah kubur
12.0 -  Takziah
13.0 -   Hukum menyediakan makanan
14.0 -   Hukum menangis apabila menerima berita kematian
15.0 -   Penutup
16.0 -   Rujukan

PENDAHULUAN

Kematian merupakan satu kejadian yang mesti ditempuhi oleh setiap manusia. Kita sebagai makhluk baru di muka bumi sudah pastinya akan mengalami kerosakan dan kemusnahan samaada dalam keadaan sihat walafiat , kaya raya ataupaun sedang berkuasa. Firman Allah Taala : اينما تكونوا يدرككم الموت ولو كنتم فى بروج مشيدة ( النساء 78 )      
( Di mana saja kamu berada , maut pasti akan mendatangi kamu sekalipun kamu             bersembunyi di atas mahligai yang kukuh ) .

Setiap muslim yang mengaku beriman akan menerima hakikat bahawa kematian bukan bererti segalanya akan berakhir  di situ, bahkan ia merupakan babak baru untuk menempuh babak-babak seterusnya . Sesudah alam ini dilenyapkan  oleh Allah sebagai Tuhan yang berkuasa akan mewujudkan alam akhirat, satu alam lain yang yang bersifat kekal untuk selama-lamanya . Di sinilah semua manusia akan diadili dan diberi balasan yang setimpal dan sesuai dengan kadar amalan mereka semasa hidupnya di dunia ini. Perjalanan hidup dunia ini merupakan penentuan akhirat. Dunia diumpama sebagai ladang , menabur benih dan menjaganya hingga mengeluarkan buah yang baik dan akhirat merupakan tempat untuk memungut hasil tadi. Dengan kata lain andainya usia dan kesempatan yang dianugerahi ini digunakan dengan sebaiknya maka InsyaAllah keuntungan di akhirat pasti akan diperolehi.

Kehidupan manusia di bumi ini ada kesudahan dan usia manusia di dunia ini juga ada batasnya. Nyawa yang menjadi milik kita hari ini hanyalah pinjaman sementara, bila tiba masa yang ditetapkan nanti pinjaman tersebut akan diambil semula dalam keadaan terpaksa atau rela sebagaimana firman Allah Taala :
فاذا جاء أجلهم لا يستأخرون ساعة ولا يستقدمون  ( الأعراف 34 )

Sebagaimana muslim yang mengaku beriman kita perlu memahami bahawa tujuan sebenar Islam menganjurkan agar umatnya sentiasa mengingati mati bukanlah untuk menakut-nakutkan bahkan untuk menyedarkan dan mengingatkan kita bahawa hidup di dunia ini hanya sementara dan masa yang sebenar ini hendaklah digunakan sebaik-baiknya, mengerjakan ibadah sebanyak mungkin serta tidak menganggap mudah dengan kematian kerana kedatangan maut ini amat menyakitkan. Dengan ini akan lahirlah jiwa yang bersih, sentiasa melaksanakan ketaatan untuk menempah keuntungan di akhirat.

Kematian merupakan satu kerehatan bagi mereka yang beriman juga merupakan wasilah untuk kita menerima balasan. Bila tiba saat ini, dengan terpisahnya roh dari jasad akan terputuslah setiap amalan manusia melainkan tiga perkara sabda Rasulullah SAW :

اذا مات ابن آدم انقطع عمله الا احدى من ثلاث صدقة جارية و علم ينتفع به وولد صالح يدعو له
( رواه مسلم )                            
Yang bermaksud : “ Apabila mati anak Adam akan terputuslah segala amalannya melainkan tiga perkara , sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat dan anak-anak soleh yang mendoakan untuknya.”

Akhirnya marilah kita mengambil kesempatan dari kehidupan , kesihatan, kelapangan, usia muda, dan kesenangan yang dianugerahkan untuk mengumpul sebanyak mungkin kebaikan dan kebajikan , sebagai bekalan untuk menuju ke Alam Baqa’ iaitu hari yang tidak ada manfaat lagi harta dan anak pinak. Hanya nilai ibadat dan amal soleh sahaja yang akan mendapat perhitungan Allah di akhirat kelak. Semoga dengan ini kita akan memperolehi dua keuntungan hidup di dunia dan di akhirat.                                         

2.0 HUKUM MENZIARAHI ORANG SAKIT

Ziarah – menziarahi merupakan suatu amalan yang dituntut oleh Islam. Amalan ini akan menambahkan lagi perasaan kasih sayang serta hubungan persuadaraan. Ianya amat diperlukan lebih - lebih lagi apabila berlaku sesuatu yang tidak baik kepada suadara muslim yang lain seperti sakit dan sebagainya. Menziarahi pesakit bukan sahaja dapat mengeratkan ukhuwwah Islamiah yang telah sedia ada bahkan di sana terdapat beberapa kelebihan sebagaimana hadis Rasulullah SAW :
                                                                : عن ثوبان عن النبى صلى الله عليه وسلم 
ان المسلم اذا عاد أخاه المسلم لم يزل فى خرقة الجنة                                                       
Maksudnya: “Sesungguhnya apabila seseorang muslim itu menziarahi saudara muslimnya yang sakit maka ianya akan sentisa berada di dalam kebun syurga dengan memetik buah – buahnya.”

Menziarahi saudara muslim yang sakit hukumnya sunat muakkad sama ada ia dikenali atau tidak. Makruh berada lama ketika menziarahi pesakit sekiranya ziarah itu akan mengganggu pesakit. Ketika menziarahi digalakkan supaya mendoakan kepadanya samada sakitnya masih ada harapan untuk hidup atau sebaliknya. Di antara doanya ialah :

بسم الله أرقيك من كل شيء يؤذيك من شر كل نفس او عين حاسد الله يشفيك بسم الله أرقيك
Maksudnya : “ Dengan nama Allah aku jampi ( minta perlindungan ) dari setiap sesuatu yang menyakitkanmu, dari kejahatan setiap jiwa atau mata yang dengki. Allah akan menyembuh-kanmu, dengan nama Allah aku jampi .”

Sebagaimana hadis yang diriwayatkan dari Ibnu Said Al Khudri :

أن جبريل عليه السلام أتى النبى صلى الله عليه وسلم فقال : يا محمد أشتكيت قال نعم : قال : بسم الله أرقيك من كل شىء يؤذيك من شر كل نفس أو عين حاسد الله يشفيك بسم الله أرقيك .  رواه مسلم                                                                                                      
Maksudnya : “ Sesungguhnya Jibril a.s mendatangi nabi SAW lalu berkata : Wahai Muhammad, adakah kamu sakit ? Jawab Baginda : Ya. Kata Jibril. Dengan nama Allah aku jampi dari setiap sesuatu yang menyakitkan kamu, dari kejahatan setiap jiwa atau mata yang dengki. Allah akan menyembuhkanmu, dengan nama Allah aku jampi.”( Riwayat Muslim )

Bagi pesakit juga terdapat beberapa perkara yang perlu dilakukan antaranya :
Menjaga akhlaknya supaya sentiasa berkeadaan baik.
Menjauhi daripada bertelingkah dalam masalah keduniaan.
Hendaklah memikirkan bahawa inilah waktu terakhir untuknya beramal.
Menjaga waktu sembahyang dan menjauhi sebarang kekotoran maksiat dan sebagainya.
Mewasiatkan kepada ahli keluarganya supaya bersabar dengan ketetapan Allah SWT dan seandainya ia meninggal janganlah meratap atau menangis secara berlebihan.
Berpesan kepada ahli keluarganya supaya meninggalkan adat (perkara – perkara bid’ah) di dalam menguruskan jenazahnya nanti.

Pesakit tidak digalakkan berdoa atau minta supaya segera dimatikan kerana tidak sanggup lagi untuk menanggung ujian tersebut sebaliknya hendaklah berdoa :

اللهم أحينى ما كانت الحياة خيرا لي و توفنى اذا كانت الوفاة خيرا لي
Bermaksud : “ Wahai Tuhanku ! Hidupkan aku selagi hidup itu baik untukku dan matikanlah aku sekiranya kematian itu baik bagiku .”
Sabda Rasulullah SAW :

عن أنس ابن مالك عن النبى صلى الله عليه وسلم أنه قال : لا يتمين أحدكم الموت لضر نزل به وليقل اللهم أحينى ما كانت الحياة خيرا لي و توفنى اذا كانت الموت خيرا لي ( حديث صحيح متفق عليه )                                                                                                            
Bermaksud : “ Jangan meminta seseorang dari kamu akan mati kerana bala yang diturunkan kepadanya serta hendaklah berdoa , wahai Tuhanku hidupkan aku selagi hidup itu baik bagiku dan matikanlah aku sekiranya mati itu lebih baik bagiku.”

 Walaubagaimanapun bersabar dengan penderitaan yang dialami itu lebih baik daripada meminta atau mencintai kematian, kerana sesungguhnya setiap mala petaka yang diturunkan itu merupakan ujian Allah SWT. Sesungguhnya semakin kasih Allah kepada hambanya semakin banyaklah ujian yang akan diberikan untuk menguji sejauh manakah keimanan seseorang hamba itu. Rasulullah SAW bersabda :
 عجبا لأمر المؤمن ان أمره كله خير وليس ذلك لأحد الا المؤمن ان أصابه خيرا شكر فكان خيرا له و ان أصابه شرا صبر فكان خيرا له                 
Bermaksud : “ Hairan bagi orang mukmin  sesungguhnya suatu perkara itu kesemuanya baik dan tidak ada perkara itu bagi orang lain melainkan bagi mukmin sahaja. Sekiranya ditimpa kebaikan ia bersyukur maka itu adalah baik baginya dan sekiranya ditimpakan kesempitan, bahaya dan sebagainya ia bersabar maka itu adalah baik baginya.”

3.0 PERKARA-PERKARA YANG PERLU DILAKUKAN KEPADA PESAKIT YANG HAMPIR MENINGGAL

Apabila seseorang pesakit itu hampir meninggal disunatkan mengadap kiblat iaitu dengan mengiring di atas lambung kanan mengadap kiblat sebagaimana kedudukan dalam liang lahad. Sekiranya tidak dapat kerana menyusahkan atau sebagainya baringkan di atas lambung kiri juga mengadap kiblat dan sekiranya masih sukar baringkan secara menelentang dengan dua kaki mengadap kiblat dan sunat diangkat sedikit kepalanya supaya mukanya juga mengadap kiblat.Disunatkan kepada orang yang masih hidup supaya mentalqinkan dengan kalimah ( لااله ا الله
agar diikuti oleh pesakit itu berdasarkan sabda Rasulullah

لقنوا موتاكم لا اله الا الله  -رواه أبو داود                                                        Bermaksud : “ Ajarlah orang yang hampir mati kalimah Liilahaillah .

Sebaik - baiknya himpunkanlah antara mentalqin dan mengadap kiblat itu (serentak) tetapi sekiranya sukar didahulukan talqin .Untuk mentalqinkan kalimah tersebut disunatkan orang yang bukan waris pesakit. Ini adalah untuk mengelakkan daripada timbulnya prasangka yang tidak baik pada pesakit sama ada beliau akan menganggap warisnya itu sukakan kematiannya untuk mendapatkan harta pusaka dan sebagainya. Dalam keadaan ini janganlah terlalu memaksa atau mendesak pesakit tadi menyebut kalimah Syahadah sebaliknya ajarkanlah dengan lemah lembut dan teratur supaya mudah diikuti mengikut keadaan pesakit.Sekiranya terlalu memaksa dibimbangi akan melahirkan atau menimbulkan perasaan jemu dan sebagainya yang seterusnya mungkin akan terpesong dari hasrat sebenar. Kepada orang yang mentalqinkan juga diharapkan agar tidak mudah putus asa ataupaun menyangka buruk terhadap reaksi yang mungkin ditunjukkan oleh pesakit sebaliknya berdoalah semoga Allah akan memberikan hidayat kepadanya.

 Disunatkan kepada kita berkata dengan perkataan yang baik dan mendoakan kebaikan untuknya sebagaimana sabda Rasulullah SAW :

عن أم سلمة قالت : قال رسول الله صلى الله عليه وسلم : اذا حضرتم المريض أو الميت فقولوا خيرا فان الملائكة يؤمون على ما تقولون  
Bermaksud : “ Apabila kamu menziarahi orang sakit atau mati maka ucapkanlah olehmu ucapan dan perkataan yang baik serta doakanlah untuknya kerana malaikat akan mengaminkan apa yang kamu katakan.”

Disunatkan kepada ahli keluarga , kaum kerabat atau sesiapa sahaja yang berada di sekeliling pesakit membaca surah Yasin sebagaimana sabda Rasulullah SAW :
ما من ميت يموت فتقرأ عتده يس الا هون الله عليه
Bermaksud : “ Tiada daripada orang yang hampir menemui ajal apabila dibaca surah Yasin kepadanya melainkan akan dipermudahkan untuknya menghadapi Sakaratul Maut.”

Dan disunatkan juga membaca surah Al-Ra’d. Sunat mendahulukan bacaan surah Yasin daripada surah Al-Ra’d kerana Yasin akan mengurangkan seksa yang ditanggung dan juga dipermudahkan untuk berhadapan dengan sakaratul maut manakala surah Al-Ra’d adalah untuk memudahkan keluar roh daripada jasadnya. Kepada orang yang hampir meninggal dunia juga diingatkan supaya sentiasa bersangka baik dengan Allah sebagaimana hadis Rasulullah SAW :
لا يموتن أحدكم الا وهو يحسن الظن باالله انه يرحمه و يعفو عنه   - الحديث
Maksudnya : “ Janganlah kamu mati melainkan dalam kamu bersangka baik dengan Allah dan sesungguh Allah akan merahmati kamu dan akan memaafkan kamu .”     

Dalam hal ini disunatkan kepada mereka yang berada di sisi pesakit memberi ingatan supaya ianya sentiasa bersangka baik dengan Allah.”

4.0 PERKARA YANG DILAKUKAN APABILA MENERIMA BERITA KEMATIAN

Apabila menerima berita kematian disunatkan membaca  انا لله و انا اليه راجعون   sebagaimana sabda   Rasulullah SAW  :
عن ابن عباس رضى الله عنهما قال : قال رسول الله صلى الله عليه وسلم  :                      
الموت فزع فاذا بلغ احدكم وفاة أخيه فليقل انا لله وانا اليه راجعون وانا الي ربنا لمنقلبون - الحديث
Bermaksud : “ Maut itu satu kejutan, apabila sampai seseorang daripada kamu berita kematian saudaranya hendaklah berkata  sesungguhnya kepadaNya kami akan dikembalikan.’’

Bagi ahli keluarga yang menerima kematian hendaklah bersabar dengan keadaan itu serta redha dan lapang dada kerana Rasulullah SAW bersabda : 
انما الصبر عند الصدمة الأولى
Bermaksud : “ Hendaklah kita bersabar ketika bertemu bala yang pertama.’’

5.0 PERKARA YANG PERLU DILAKUKAN KEPADA ORANG YANG BARU MENINGGAL

Apabila berlaku satu kematian maka hukum menguruskan jenazah merupakan fardu kifayah dan menjadi kewajipan kepada mereka yang masih hidup untuk menguruskan jenazah tersebut dari awal hingga mengebumikannya dan juga hendaklah menjelaskan segala hutang piutangnya sekiranya ada sebagaimana sabda Rasulullah SAW :  
نفس المؤمن معلقة بقضاء دينه حتى يقضى

 Bermaksud : “ Roh seseorang mukmin itu akan tergantung dengan hutang nya  sehinggalah dijelaskan.”

Seterusnya menjadi kewajipan juga untuk menguruskan harta pusaka yang ditinggalkan sekiranya ia mempunyai harta. Perkara yang perlu dilakukan kepada si mati ialah :
Basuh kemaluan
Memejamkan mata si mati dengan mengurutnya perlahan – lahan selembut yang boleh sambil membaca        
بسم الله وعلى ملة رسول الله اللهم اغفر له وارفع درجة فى المهديين واخلفه فى عقبه فى الغابرين واغفرلنا وله يا رب العالمين وافسح له فى قبره ونور له فيه                                                                                                    
Ikat dagu si mati dengan  menggunakan kain yang agak lebar dengan dililitkan di kepalanya. Tujuannya adalah untuk mengelakkan mulut daripada turun kebawah atau terbuka.
Seterusnya gosoklah sendi-sendi dengan menggunakan minyak dan gerak serta lipatkan perlahan-lahan semua sendi,tangan, kaki, lutut dan jari- jemari. Tujuannya ialah untuk memudahkan urusan memandikan nanti.
Kemudian pindahkan jenazah ke tempat yang tinggi seperti katil kemudian letakkan logam atau besi yang berat sekitar 1 pound di atas perut si mati. Tujuannya adalah untuk mengelakkan daripada berlaku kembung.

Ahli keluarga si mati hendaklah berusaha untuk menjelaskan segala hutang yang          ditinggalkan. Terdapat empat kewajipan utama yang ditaklifkan kepada mereka yang masih hidup ( fardu kifayah ) untuk dilaksanakan apabila berhadapan dengan satu kematian :
Memandikan
Mengapankan
Menyembahyangkan
Mengebumikan

Untuk Perhatian : Semua perbelanjaan untuk menguruskan jenazah hendaklah diambil daripada harta peninggalan si mati kecuali isteri dan anak, isteri diwajibkan ke atas suami manakala anak pula diwajibkan ke atas bapa. Sekiranya si mati tadi tidak mempunyai harta maka ia menjadi kewajipan kepada orang yang menanggungnya ketika hidup dan sekiranya tiada juga maka kewajipan itu akan berpindah kepada baitulmal. Sekiranya baitulmal tidak ada tempat tersebut maka ianya akan menjadi kewajipan kepada mana – mana muslim yang mampu atau kaya di tempat tersebut.

6.0 MEMANDIKAN JENAZAH

Memandikan jenazah hukumnya fardu kifayah secara ijma’.

6.1 Syarat jenazah yang diwajibkan mandi :
Mayat Islam
Didapati anggota walaupun sedikit
Bukan anak keguguran yang belum bersifat ( sebelum 4 bulan )
Bukan jenazah yang mati syahid

6.2 Orang yang boleh memandikan jenazah

      Kewajipan asal memandikan jenazah ialah lelaki memandikan jenazah lelaki dan perempuan memandikan jenazah perempuan. Sekiranya jenazah itu lelaki, yang lebih utama memandikannya ialah orang yang didahulukan menyembahyangkannya dan isterinya bagi yang beristeri dan seterusnya mengikut tertib bapa, datuk lelaki dan seterusnya mengikut tertib.

 Dahulukan selepas isteri dengan lelaki terdekat kemudian seterusnya mengikut tertib tadi dan barulah perempuan – perempuan yang diharamkan kahwin dengannya. Manakala jenazah wanita yang tiada suami orang yang diamanahkan untuk memandikannya ialah perempuan yang paling dekat hubungan kekeluargaan seperti ibu dan seterusnya. Harus bagi suami memandikan isteri mengikut ijmak ulama’. Mengikut Imam Syafie sekiranya berlaku satu kematian di mana seorang lelaki meninggal di satu tempat yang tiada kaum lelaki melainkan perempuan ajnabi sahaja maka kewajipan memandikan jenazah berpindah kepada tayammun sahaja dengan menjaga pandangan dari melihat aurat lelaki.

Begitu juga apabila seseorang perempuan meninggal di tempat yang tiada perempuan sedangkan ia tidak mempunyai muhrim ataupun suami maka ianya boleh ditayammunkan juga oleh lelaki ajnabi dengan menjaga aurat si mati. Jenazah kanak – kanak boleh dimandikan sama ada oleh perempuan atau lelaki. Manakala jenazah khunsa yang mempunyai dua alat kelamin, orang yang memandikannya hendaklah melihat kecenderungannya mana yang lebih banyak atau dengan berpandukan kepada haid dan sebagainya.
     
6.3 Hukum melihat aurat si mati

      Menutup aurat kepada si mati adalah wajib. Haram bagi orang yang memandikan jenazah atau selainnya melihat aurat si mati begitu juga menyentuhnya. Bagi mereka yang hendak memandikan jenazah apabila sampai kepada aurat si mati hendaklah mengalas tangannya sama ada dengan menggunakan sarung tangan atu seumpanya dan mengikut setengah pendapat makruh menyentuh tubuh si mati tanpa alas.

6.4 Syarat untuk memandikan jenazah
Islam
Bukan pembunuh si mati – bagi pembunuh akan gugur hak memandikan ke atasnya hinggalah menanamnya.

Perkara utama yang perlukan untuk orang yang memandikan jenazah ialah amanah. Sebagai-mana sabda Rasulullah SAW :     
لا يغسل موتاكم الا المأمونون  - رواه ابن ماجه
Bermaksud : “ Jangan kamu memandikan orang mati kecuali kepada orang yang amanah.”

Dan yang sebaiknya ialah orang yang terdekat dan disayangi oleh si mati dengan syarat ia mengetahui tentang kewajipan mandi. Bagi yang mati dalam keadaan junub dan haid memadai hanya satu mandian saja.

6.5 Perkara yang sunat dilakukan ketika memandikan jenazah

Mengulangi mandian sebanyak tiga kali, di mana mandian pertama adalah wajib manakala yang kedua dan ketiga adalah sunat. Mandian yang pertama ialah dengan air bidara manakala yang kedua dengan air mutlak atau sabun dan yang ketiga dengan air kapur barus. Makruh memandikan jenazah melebihi tiga kali sekiranya sudah bersih. Sekiranya mandian yang ketiga tidak dapat membersihkan najis yang ada ulangilah kepada lima, tujuh dan seterusnya hingga bersih. Sunat mewitirkan bilangan sebagaimana hadis Rasulullah SAW :       اغسلها وترا ثلاثا او خمسا او اكثر من ذلك ان رأيتن 
Menggunakan wangian dalam mandian yang terakhir seperti air kapur barus dan seumpanya tetapi yang sebaik – baiknya air kapur barus. Disunatkan juga menggunakan air bidara atau air sabun.
Sunat memasang setanggi terutamanya ketika mengeluarkan najis untuk menghilangkan bauan busuk.
Sunat mengulangi melembut- lembutkan sendi setelah selesai memandikan untuk memudahkan pengapanan.
Mengikut mazhab Syafie sunat menyikat rambut perempuan dan janggut si mati sekiranya tebal dengan menggunakan sikat yang jarang.

6.6 Cara –cara memandikan mayat

Sekurang – kurang mandian bagi jenazah ialah dengan meratakan air ke seluruh tubuh setelah dibersihkan najis –najis yang ada. Manakala yang sebaiknya ialah :
Dimandikan di tempat yang bersih dan tertutup daripada pandangan umum. Hanya orang yang memandikan dan penolongnya sahaja yang dibolehkan berada di tempat itu.
Tutupkan mayat tadi dengan menggunakan kain yang menutup keseluruhan badan,
sementara bahagian muka boleh ditutup atau sebaliknya tetapi yang sebaiknya ditutup untuk mengurangkan semasa mencurahkan air nanti. Air yang hendak dicurah itu hendaklah di atas kain sebagaimana sabda Nabi SAW :
غسلوه وعليه قميص يصبون عليه الماء و يد لكونه من فوقه
Bermaksud : “ Mereka memandikannya ( si mati ) dalam keadaan berpakaian dan mencurah air serta menggosok di atas pakaian tersebut.”
Jurumandi dan penolongnya disunatkan memakai sarung tangan. Bagi setengah pendapat makruh menyentuh mayat tanpa alasan ketika memandikan jenazah.
Kemudian hendaklah didudukkan sedikit mayat tadi dengan perlahan – perlahan dan lemah – lembut. Sandarkan belakangnya kepada lutut kanan orang yang memandikannya dan tangan kanan memegang bahu kanan mayat. Tangan kiri yang beralas mengurut perut si mati perlahan – perlahan supaya najis yang ada akan keluar. Air hendaklah sentiasa dicurahkan supaya najis yang keluar akan turun ke bawah. Disunatkan memasang setanggi ketika mengeluarkan najis serta bersihkan tempat keluar najis itu kemudian buang sarung yang pertama.
Kemudian baringkan semula jenazah tadi, dengan menggunakan sarung tangan yang baru masukkan jari ke mulut si mati serta gerakkan jari diatas gigi perlahan – perlahan dan jangan sekali – kali membuka mulutnya. Matanya , telinga dan hidung juga hendaklah dibersihkan.
Wudhukkan si mati dengan niat, berniat wudhuk adalah adalah wajib makakala niat mandi adalah sunat.
Bersihkan kepala dan janggut. Sekiranya janggut dan rambut itu tebal, sikatkan dengan menggunakan sikat yang jarang untuk mengelakkan gugurnya rambut. Sekiranya terdapat rambut yang gugur semasa mandi hendaklah dikumpulkan untuk dikafan bersama.
Kemudian basuhlah leher dan badan di sebelah lambung kanan , celah – celah kemaluan, dada, lutut dan hingga ke hujung kaki yang merangkumi sebahagian kanan badan. Kemudian dibaringkan semula , basuhkan lambung kiri sebagaimanabasuhan lambung kanan tadi. Tidak perlu mengulangi semula ketika meneruskan mandian, sebaliknya teruskan dengan membasuh dari tengkuk ke bawah.
Mandian hendaklah sebanyak tiga kali. Mandian pertama adalah wajib, manakala yang kedua dan ketiga adalah sunat. Sekira mandian yang ketiga masih tidak dapat menghilangkan najis yang ada, ulangi kepada lima, tujuh dan seterusnya hingga bersih dan sunat diwitirkan sebagaimana hadis Rasulullah SAW :
اغسلها وترا ثلاثا او خمسا او سبعا او اكثر من ذلك ان رأيتن
      10) Sunat menggunakan air daun bidara atau sabun atau seumpamanya yang sifatnya
      boleh membersihkan.
      11) Mandian yang ketiga dan terakhir sunat dengan menggunakan air kapur barus     
            atau  wangian,tetapi yang afdhal ialah air kapur barus.
      12) Boleh meletakkan bau-bauan kepada si mati selepas dimandikan. Antara bauan
            yang afdhal ialah kapur barus.
      13) Memandikan jenazah dengan menggunakan air sejuk biasa lebih afdhal daripada
             menggunakan air panas kecuali ketika berhajat.
      14) Haram menelengkupkan jenazah.

Untuk perhatian: Sebarang benda yang gugur semasa mandian seperti rambut dan sebagainya hendaklah disimpan kemudian dikafankan bersama dengan jenazah. Sekiranya didapati najis keluar selepas dimandikan, tidak perlu lagi mengulangi lagi mandian tadi tetapi hanya diwajibkan membuangnya sahaja.

7.0 MENGKAFANKAN JENAZAH
      
      7.1 Hukum mengapankan jenazah
             Mengapankan jenazah adalah fardu kifayah, kafan memadai sekurang – kurangnya dengan satu lapisan sahaja yang menutupi seluruh badan si mati. Sebaik – baiknya  tiga lapis bagi lelaki dan lima lapis bagi perempuan. Boleh mengapankan jenazah  dengan mana – mana kain tetapi sebaik – baiknya berwarna putih.

عن ابن عباس قال : قال رسول الله ( ص ) : البسوا ثيبكم البياض ، فانها من خير ثيبكم و كفنوا فيها موتاكم

 Bermaksud : “ Pakaikan kain putih kerana ianya dari sebaik – baik kain dan  kapankan orang – orang mati di kalangan kamu dengannya.”
قال رسول الله ( ص ) : اذا كفن احدكم أخاه فليحسن كفنه
 Bermaksud : “ Apabila seseorang kamu mengapankan saudaranya elokkan kapannya.”

             Segala pengurusan untuk kapan hendaklah diambil harta dari harta si mati hendak lah didahulukan daripada menjelaskan hutang. Tidak diharuskan mengapankan jenazah melainkan dengan menggunakan pakaian yang biasa digunakan semasa hidupnya. Tidak boleh mengapankan jenazah lelaki dengan sutera kecuali jika tidak ada kain melainkan kain sutera. Begitu jugamakruh mengapankanjenazah dengan kain  yang berwarna kuning. Sebaik – baiknya gunakan kain yang dibasuh, sekiranya kain tidak ada bolehlah dikapankan dengan mana – mana kain yang bersih dan sekiranya tiada kain untuk dikapankan maka bolehlah digunakan kulit, rumput, inai dan tanah.

             Kain kapan tadi juga mestilah bersih daripada sebarang najis.Makruh berlebihan  dalam mengapan jenazah. Begitu juga makruh orang yang masih hidup menyediakan kain kapan untuk dirinya sendiri kecuali daripada warisan para para solihin, hukumnya
diharuskan. Menggunakan kain kapan selain daripada warna putih juga adalah  makruh. Haram menulis sebarang ayat Quran atau nama Allah di atas kain kapan.

7.2 Cara mengafankan jenazah

Bentangkan kain kapan , kemudian taburkan kapur barus ke atasnya. Bentangkan
kain kapan yang kedua juga taburkan kapur barus ke atasnya. Bentangkan pula
lapisan ketiga, letakkan mayat tadi dengan perlahan –perlahan secara menelentang
qiamkan tangan si mati. Kemudian guntingkan kapas kecil – kecil untuk diletakkan di
setiap sendi dan anggota sujud.

Ambil sekeping kapas dan masukkan kapur barus ke dalamnya kemudian letakkan kapas itu pada kemaluan si mati, tetapi jangan sampai masuk ke dalamnya. Seterusnya hendaklah diikat mayat tadi supaya tidak terurai kapas – kapas yang ada. Dan ikatan tersebut hendaklah dibuka apabila dikebumi nanti. Perlu diingat bahawa orang yang mati di dalam ihram tidak boleh diletakkan sebarang bauan ketika mengapankan jenazahnya serta haram menutup muka perempuan dan kepada lelaki yang mati di dalam ihram.

8.0 SEMBAHYANG JENAZAH                                               

Sembahyang jenazah hukumnya fardu kifayah. Ia boleh dilakukan pada bila – bila masa walaupun pada waktu yang dimakruhkan. Boleh dilakukan secara keseorangan, tetapi sunat secara berjamaah.

       8.1 Syarat jenazah yang hendak disembahyangkan
Suci dari hadas
Menutup aurat
Niat ( tidak sah tanpa niat )
Mayat Muslim
Bukan mati syahid
Suci dari najis pada badan, kain dan tempat
Mengadap kiblat

       8.2 Sembahyang jenazah
             Terdapat tujuh rukun sembahyang jenazah seperti di bawah ini:-
Niat.
Berdiri bagi orang berupaya.
Empat takbir termasuk takbiratul ihram.
عن ابي هريرة ان النبى ( ص ) صلى على النجاشى تكبيرا اربعا
Membaca fatihah selepas takbir pertama.
Selawat kepada Nabi selepas takbir kedua sekurang-kurangnya selawat ialah:   
" اللهم صل على على محمد "

     Dan yang sebaik – baiknya ialah:-    
"اللهم صل على محمد وعلى آل محمد كما صليت على ابراهيم وعلى آل ابراهيم و بارك على محمد كما باركت على ابراهيم و على ابراهيم انك حميد مجيد "                                                     
Doa kepada si mati selepas takbir ketiga.
Salam selepas takbir keempat. Sebelum salam disunatkan membaca:-
اللهم لا تحرمنا اجره ولا تفتنا بعده واغفرلنا وله

Di dalam menunaikan sembahyang jenazah , perempuan boleh makmun kepada imam lelaki. Jika sesama perempuan disunatkan sembahyang berseorangan dan bolehjuga berjemaah. Kanak – kanak kecil yang tidak sempat hidup semasa lahirnya tidak
wajib disembahyangkan.
عن جابر عن النبى ( ص ) قال : الطفل لا يصلى عليه ولا يرث ولا يورث حتى يستهل
Bermaksud : “Kanak – kanak kecil tidak disembahyangkan atasnya, tidak mengambil pusaka dan tidak diambil pusaka darinya melainkan bersuara semasa keluar dari perut ibunya.”

Orang yang mati syahid dalam peperangan tidak perlu disembahyangkan tetapi yang syahid selain dari perang hendaklah disembahyangkan.

        8.3 Cara menyembahyangkan jenazah:-

Niat sama ada hadir atau ghaib. Lelaki atau perempuan.
أصلى على هذا / هذه الميت أربع تكبيرات فرض كفاية مأموما ( اماما ) لله تعالى
Takbir pertama – baca Fatihah.                                                                                   
Takbir kedua – baca Selawat.
Takbir ketiga – berdoa kepada mayat. Antara doanya ialah:-

اللهم اغفرله وارحمه وعافه واعف عنه و أكرم نزله ووسع مدخله واغسله بالماء والثلج والبرد ونقه من الخطايا كما ينقى الثوب من الدنس ، وابدله دارا خيرا من داره ، وأهلا خيرا من أهله وزوجا خيرا من زوجه وأدخله الجنة وأعده من عذاب القبر ومن عذاب النار .                                                                                                                                       
5.    Takbir keempat – beri salam sebelum itu bacalah doa:-
اللهم لا تحرمنا أجره ولا تفتنا بعده واغفرلنا وله ولاخواننا الذين سبقونا بالايمان ولا تجعل فى قلوبنا غلا للذين آمنوا انك رؤوف الرحيم                   
Doa bagi jenazah kanak – kanak:-

اللهم اغفر لحياتنا وميتنا وصغيرنا وكبيرنا وذكرنا وانثاتا وشاهدنا وغائبنا.اللهم أحييته منا فاحيه على الاسلام ومن توفيته منا فتوفه على الاءيمان .اللهم اجعله فرطا لأبويه وسلفا وعظة واعتبارا وشفيعا. وثقل به موازينها واغفر الصبر قلوبنا ولا تفتنها بعده ولا تحر مهما أجره.

        8.4 Perkara yang sunat bagi sembahyang jenazah
Mengangkat tangan ketika takbir.
Semua bacaan dibaca dengan senyap.
Berjemaah - makin ramai makin baik.

        8.5 Imam sembahyang jenazah

              Yang diutamakan dalam sebahyang jenazah ialah bapa kepada anak, datuk dan
               seterusnya ( ke atas ). Anak , cucu dan seterusnya ( ke bawah ), mengikut tertib
               pusaka. Jika didapati sama kedudukannya didahulukan yang lebih tua.
  
9.0     MENGEBUMIKAN JENAZAH

9.1    Sabda Nabi SAW:-
   من شهد الجنازة حتى يصلى عليها فله قراط ومن شهذها حتى يدفن فله قراطان قيل وما القرطان ؟ قال مثل الجبلين العظمين   ..                                                                  
Bermaksud : Barangsiapa yang menyaksikan jenazah serta turut menyembahyang- kannya diberi pahala satu Qirat. Dan barangsiapa yang menyembahyang jenazah   hingga mengebumikannya diberi pahala dua Qirat. Ditanya kepada Rasulullah SAW  apakah yang dimaksudkanrdengan Qirat itu? Jawab Baginda : iaitu pahala yang menyamai dua bukit yang besar. Membawa jenazah hanyalah untuk lelaki sama ada jenazah lelaki atau perempuan. Sebelum bergerak meninggalkan halaman rumah menuju ke kubur disunatkan membaca al-Fatihah tiga kali. Caranya selepas melangkah selangkah dibaca sekali sehingga tiga langkah  dengan tiga Fatihah. Sunat berdiri apabila mayat diusung berhampiran dengan kita dan dibaca doa:
سبحان الذين لا يموت سبحان الملك القدوس.

           Disunatkan kepada kita berada di tempat pengkebumian sehingga selesai. Boleh menanam jenazah di waktu malam tetapi disunatkan di waktu siang.  

        9.2 Cara – cara mengebumikan jenazah

Hendaklah diturunkan seberapa cermat yang boleh, lemah-lembut dan penuh hormat di dalam suasana yang tenang. Disunatkan membaca doa:
بسم الله وعلى ملة ر سول الله صلى الله وعليه وسلم
“ Dengan nama Allah kami meletakkan kamu di sini dan berdasarkan agama Islam yang disampaikan oleh Rasulullah S.A.W.”
Letakkan jenazah ke dalam liang lahad dan baringkan ke atas lambung kanan  dengan mengadap kiblat.
Disandarkan dengan ketulan tanah supaya jenazah itu terbalik atau terpesong dari mengadap kiblat.
Tutup liang lahad dengan papan.
Sunat meraub tanah tiga raub selepas dimasukkan mayat ke dalam liang lahad  atau selepas ditutup dengan papan dan diletakkan di belakang mayat.Pada rauban pertama bacakan
(منها خلقناكم) dan pada rauban kedua(وفيها نعيدكم) dan pada rauban ketiga(ومنها نخرجكم تارة أخرى)
Timbuskan tanah dengan perlahan-lahan dan cermat.Pastikan supaya tanah tidak memasuki lubang liang lahad tadi.
Sunat meninggikan kubur dari paras bumi sejengkal.
Sunat diletakkan tanda seperti batu nisan dan sebagainya supaya senang dikenali.

10.0   KEWAJIPAN TERHADAP ANAK YANG GUGUR

Jika ada tanda-tanda anak tersebut hidup semasa lahirnya seperti bergerak,
bernafas seumpamanya maka hukum yang dikenakan ke atasnya samalah seperti mayat orang biasa.
              2- Jika tiada tanda-tanda hidup tetapi sudah membentuk lembaga manusia maka       
     tadi hendaklah dimandi, dikapan dan dikebumikan tanpa disembahyangkan.
3-  Sekiranya tiada tanda-tanda hidup dan masih belum membentuk lembaga 
     manusia memadailah dengan membasuhnya sahaja untuk dibersihkan 
     daripada darah dan kotoran yang ada, kemudian dibungkus dan ditanam.

11.0 ZIARAH KUBUR

Menziarahi kubur dan hadir ketika mengebumikan mayat hukumnya sunat bagi lelaki  dan bagi perempuan juga dibolehkan tetapi makruh (tidak haram) mengikut pendapat jumhur ulama’. Apabila menziarahi kubur sunat memberi salam dan doa:-
السلام عليكم أهل الديار من المؤمنين والمسلمين والمسلمات وانل انشاء الله اللاحقون أسأل الله لنا ولكم العافية…
    Disunatkan juga membaca al-Quran seberapa banyak yang boleh. Menziarahi 
          kubur  adalah sunat kerana dengan demikian akan mengingatkan kita kepada mati.

12.0    TAKZIAH

Sunat memberikan ucapan takziah kepada keluarga si mati sebagai tanda turut bersimpati di atas ujian tersebut dengan memberikan nasihat supaya dapat bersabar dan menerima kematian dengan berlapang dada.

Takziah sunat dilakukan sama ada sebelum dikebumikan atau selepasnya selama tiga hari. Dan makruh memberi takziah selepas dari tempoh tersebut . Takziah selepas dikebumikan lebih baik daripada sebelumnya kerana di waktu itu ahli keluarga si mati sibuk untuk menguruskan jenazah.

13.0    HUKUM MENYEDIAKAN MAKANAN

Sunat bagi jiran yang berhampiran menyediakan makanan kepada ahli si mati bukannya keluarga si mati yang menyediakan makanan untuk mereka. Imam Syafie ada menyatakan:

وأحب لجيران الميت أوذى القرابة ان يعلموا لأها المتوفى يوم يموت وليلته طعاما يشبعهم فان ذلك سنة وذكر كريم وهو من فعل أهل القبر قبلنا.
Bermaksud: Dan saya menyukai bagi jiran atau kerabat menyediakan makanan kepada keluarga si mati pada hari kematiannya dan malamnya dengan makanan yang mengenyangkan kerana yang demikian itu adalah sunnah dan menjadi sebutan yang baik dan juga merupakan pekerjaan orang yang baik sebelum kami.

    Sabda Rasulullah S.A.W :    
اصنعوا لآهل جعفر طعاما فانه قد جاءهم أمر يشغلهم عنه
      Bermaksud: Buatlah makanan untuk keluarga Jaafar sesungguhnya telah
          Mendatangi mereka suatu perkara yang menyibukkan mereka daripada 
          menyediakannya.

Sekiranya makanan dan minuman yang dibuat itu melibatkan harta anak yatim dan tidak dipersetujui maka hukum ke atas pekerjaan tersebut adalah haram.

    2-KENDURI ARWAH

           Islam tidak melarang bahkan menggalakkan umatnya membuat kebaikan. Bagi mengadakan kenduri arwah ia dibolehkan dengan syarat:

Hutang si mati telah dijelaskan.
Harta waris telah dibahagi dan diselesaikan.
Tidak beriktikad bahawa hari ketiga, lima, tujuh dan seterusnya di sunatkan.
Tidak menetapkan waktu-akan jadi bidaah.

14.0    HUKUM MENANGIS APABILA MENERIMA KEMATIAN

Menangis apabila berlaku sesuatu kematian hukumnya harus tetapi haram bila meraung dan meratap. Diharuskan menangis kerana Rasulullah S.A.W juga pernah menangis ketika kematian anaknya Ibrahim . Apabila ditanya wahai Rasulullah kenapakah kamu menangis, bukankah kamu menegah daripada menangis. Rasulullah menjawab:Tidak, tetapi aku menegah daripada meratap-ratap.

15.0    PENUTUP

Untuk akhirnya kami mendoakan semoga risalah kecil yang serba ringkas ini dapat memberi manfaat untuk semuanya terutamanya apabila berhadapan dengan jasad yang tidak bernyawa.
قال تعالى:قل يتوفاكم ملك الموت الذى وكل بكم ثم الى ربكم ترجعون……..
Bermaksud: Katakan malaikat maut yang diamanahkan untuk mengambil nyawamu akan mematikan, kemudian hanya kepada Tuhanmulah kamu akan dikembalikan.

“ CUKUPLAH MAUT ITU SEBAGAI PEMBERI INGATAN, AL-QURAN SEBAGAI RUJUKAN DAN RASULULLAH SEBAGAI IKUTAN”

Wallahua’lam.

16.0    RUJUKAN
1- أحكام الجنائز    -أحمد حسين
2- بحر الماذى   -جلد 7-8
 3 - فروغ المسائل                       
4-فقه الميسر
5- الأذكار
                6-الفقه على المذاهب الأربعة 
......

Khamis, 17 September 2009

Ramadhan Hampir Penghujungnya... Syawal 1430H Bakal Menjelma.. Salam 'Aidil Fitri Maaf Zahir Batin dari Warga Surau al-Makmur

Sudah hampir penghujung Ramadhan rupanya... sedar tidak sedar masa berlaku begitu pantas... sedar tidak sedar... umur kita meningkat lagi... Kini Syawal menjelma lagi, apakah kita masih berpeluang untuk bertemu dengan Madrasah Ramadhan yang akan datang? Atau bakal menjadi pilihan untuk berangkat ke alam barzakh? Sisa Ramadhan yang tinggal ini jangan disia-siakan kerana esok untuk terus menghirup udara di bumi Allah ini belum pasti...

Untuk renungan bersama, (tazkirah dipetik dari zaki.com.my):

Andai aku tahu ini Ramadhan terakhir…

Tentu siangnya aku akan sibuk berzikir, tentu aku tak akan jemu melagukan syair rindu mendayu..merayu…kepada-NYA Tuhan yang satu

Andai aku tahu ini Ramadhan terakhir…
Tentu solatmu aku kerjakan di awal waktu, solat yang dikerjakan, sungguh khusyuk lagi tawadhuk. Tubuh dan qalbu akanbersatu memperhambakan dirimenghadap Rabbul Jalil dan menangisi kecurangan janji.“innasolati wanusuki wamahyaya wamamati lillahirabbil ‘alamin” [Sesungguhnya solatku, ibadahku, hidupku, dan matiku kuserahkan hanya kepada Allah Tuhan seru sekalian alam]

Andai aku tahu ini Ramadhan terakhir…
Tidak akan aku sia siakan walau sesaat yang berlalu, setiap masa tak akan aku dibiarkan begitu saja. Di setiap kesempatan juga masa yang terluangalunan Al-Quran bakal aku dendang, bakal aku syairkan.

Andai kau tahu ini Ramadhan terakhir....
Tentu malamku sibukkan dengan bertarawih, berqiamullail, bertahajjud,mengadu, merintih dan meminta belas kasih.
“Sesungguhnya aku tidak layak untuk ke syurga-MU, tapi aku juga tidak sanggup untuk ke neraka-MU“.

Andai aku tahu ini Ramadhan terakhir...
Tentu diriku tak akan melupakan mereka yang tersayang. Mari kita meriahkan Ramadhan. Kita buru, kita cari, suatu malam idaman yang lebih baik dari seribu bulan.

Andai aku tahu ini Ramadhan terakhir...
Tentu aku bakal menyediakan batin dan zahir. Mempersiap diri, rohani dan jasmani aku. Menanti-nanti jemputan Izrail, di kiri dan kanan lorong-lorong redha Ar-Rahman.Duhai Ilahi….Andai ini Ramadhan terakhir buat kami jadikanlah ia Ramadhan paling bererti,paling berseri, menerangi kegelapan hati kami menyeru ke jalan menuju redha serta kasih sayangMu Ya Ilahi. Semoga bakal mewarnai kehidupan kami di sana nanti.

Namun sahabat…
Tidak akan ada manusia yang bakal mengetahui adakah Ramadhan ini merupakan yang terakhir kali bagi dirinya, yang mampu bagi seorang hamba itu hanyalah berusaha, bersedia, meminta belas-NYA.
----

Selamat Menyambut 'Aidil Fitri Maaf Zahir Batin... Moga madrasah Ramadhan ini membina kekuatan untuk terus bersujud pada Illahi... bagi menyediakan persiapan untuk melangkah ke alam barzakh nanti... Mati adalah Pasti, Hidup belum Tentu...

Jumaat, 10 Julai 2009

Pelaburan Akhirat: Gotong Royong Membersih Taman Desa Makmur

Assalamualaikum w.b.t.

Aktiviti membersih kawasan Taman Desa Makmur Sg. Merab:

Tarikh : 11 Julai 2009 (Sabtu)
Masa : 8.00am
Berkumpul : Rujuk pekeliling AJK Taman (4 lokasi)

Kelengkapan: Peralatan bersesuaian mohon dibawa sendiri.

Hadiah: Pahala sadakah jariah (Insyaallah)

Wassalam.

Pelaburan Akhirat: Wakaf Pembinaan Tahfiz Mutmainnah

ANGGARAN BANGUNAN TAHFIZ MUTMAINNAH
RM 1,000,000.00 (Ringgit Malaysia Satu juta)

NO AKAUN :TAHFIZ MUTMAINNAH 552059703378 (MAYBANK)

Keterangan Lanjut Hubungi
Ustaz Sharir Long-019 4736060
Alamat surat anda kepada
Setiausaha Lembaga Tadbir Tahfiz Mutmainnah
Lot 107 & 107 Kg Baru Permatang Berangan
08000 Sg Petani ,Kedah Darul Aman.
Tel/Faks: 04-4316203
Email:Tahfizmutmain nah@gmail. com

Selasa, 7 Julai 2009

Makluman: Kuliah Subuh Mingguan

Hari : Setiap hari Ahad (selepas subuh)

Penceramah : al-Fadhil Ustaz Hasnan

Muslimin dan muslimat dijemput hadir.